GEORGETOWN: Penubuhan Parlimen Mahasiswa di setiap institut pengajian tinggi (IPT) mampu memberi lebih ruang kepada pelajar menyuarakan pandangan mereka tanpa dipengaruhi pihak luar.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata pandangan mahasiswa juga boleh dipertimbangkan ketika penggubalan akta universiti yang baru.

“Kementerian memberi kebebasan kepada IPT membentuk Parlimen Mahasiswa bagi memberi ruang kepada golongan itu meluahkan pendapat yang mampu membangunkan universiti dan negara tetapi ia perlu mengikut modul yang dibenarkan universiti saja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kertas cadangan Parlimen Mahasiswa daripada Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM), Mohamed Shafiq Abd Aziz, di universiti itu di sini, semalam.

Turut hadir, Naib Canselor USM, Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.

Terdahulu, Saifuddin menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara USM dengan Jabatan Kimia, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi.

USM diwakili Dzulkifli manakala Jabatan Kimia oleh Ketua Pengarahnya, N Hithaya Jeevan.

Perjanjian yang membabitkan kerjasama selama lima tahun bertujuan memberi latihan dan penempatan kepada pelajar USM serta peluang melanjutkan pengajian di USM bagi pegawai Jabatan Kimia.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, modul Parlimen Mahasiswa terserah kepada universiti berdasarkan kepada kesesuaian masing-masing kerana ada IPT yang mempunyai banyak cawangan.

“Menerusinya, pelajar boleh berbincang mengenai politik tetapi perlu ada had dan tidak menyentuh isu perkauman sehingga mampu menggugat keamanan,” katanya.