Suatu hari, seorang pemuda datang kepada Socrates dan berkata, “saya mahu belajar dan tahu semua yang kamu tahu!”

“Kalau itu yang kamu mahukan, mari ikut aku ke sungai” jawab Socrates.

Dengan perasaan penuh ghairah, pemuda tersebut mengekori Socrates berjalan menuju ke sungai yang dimaksudkan. Apabila tiba di tebing sungai, Socrates memanggil pemuda tersebut, menyuruhnya merenung ke air.

“Tengok betul-betul dalam air tu, apa yang kamu nampak?” katanya.

“Saya tak nampak apa-apa pun”, jawab pemuda tersebut.

“Tengok betul-betul. Dekatkan lagi kepala kamu itu ke air” tegas Socrates.

Apabila pemuda itu meniarap dan mendekatkan mukanya ke air, Socrates segera memegang kepalanya dan membenamkan ia ke dalam air! Pemuda tersebut meronta-ronta dan tangannya terkapai-kapai kelemasan.

Terdesak!

Bila mana pemuda tersebut kelihatan sudah seperti mahu lemas, Socrates menarik keluar kepalanya dan menyandarkan beliau ke tebing.

“Hoi orang tua. Engkau gila ke apa?” tanya lelaki itu sambil terbatuk-batuk mencuba nafas.

“Engkau nak bunuh akukah?” geram benar bunyinya.

“Semasa aku benamkan kepala engkau ke dalam air, apakah benda yang paling engkau hajatkan pada detik itu?” tanya Socrates.

“Aku nak bernafas, aku mahukan udara!” jawabnya tegas.

“Jangan sekali-kali kamu tersilap fikir bahawa HIKMAH itu boleh diperolehi dengan mudah, wahai anak muda” kata Socrates.

“Apabila kamu mahu belajar, seperti kamu mahu dan berhajat kepada udara sebentar tadi, barulah datang kepadaku” tegas Socrates, menyimpulkan pelajaran pertamanya petang itu.

[petikan The 7 Habits of Highly Effective Teens – Sean Covey]

ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor


Advertisements